Sunday, 31 March 2013

Bercakap Dengan Jin & Tamar Jalis

Tadi tengah boring2 aku surf la internet sambil layan lagu dari Maiden England ni..tiba2 aku tertarik dengan artikel kat web http://harmoni-my.org/ ni..artikel tentang penulis novel seram yang boleh di katakan legend jugak dalam dunia penulisan kat Malaysia ni.sapa lagi kalau bukan Tamar Jalis.dulu aku suka sangat baca novel bersiri Bercakap Dengan Jin tu.masa aku sekolah rendah lagi. dulu bila baca novel tu memang aku jadi takut la..bila nak tido malam teringat2 cerita kat dalam tu..heheh

Tamar Jalis

Ni yang aku baca kat artikel kisah beliau dan macam mana boleh beliau dapat nama pena Tamar Jalis tu.Jika US ada Stephen King,penulis novel seram/thriller terkenal,kita ada Tamar Jalis! salute kat beliau.artikel ni tajuk dia yang sebenar ialah 'Identiti Tamar Jalis Terbongkar'

Artikel kredit kepada http://harmoni-my.org/sbdj/indexh.htm


Tamar Jalis atau nama sebenarnya Ahmad @ Mohd.Radzi bin Mahmud telah menghasilkan lebih 284 Siri Bercakap Dengan Jin(SBDJ),16 daripadanya sudah dibukukan dan jualannya menurut suatu kajian Prof.Adnan Nawang melebihi sejuta naskhah.Hal ini memperlihatkan sambutan meluas pembaca terhadap siri novel itu yang sudah bermula sejak tahun 1981 hingga 2005.

Jualan hingga lebih sejuta naskhah siri novel SBDJ membuktikan karya itu lebih banyak terjual berbanding mana-mana buku Sasterawan Negara yang pernah diterbitkan sehingga kini.Jualan besar SBDJ termasuk naskhah cetak rompak menunjukkan pembaca daripada pelbagai bangsa di Malaysia menggemari SBDJ yang mempunyai resipi tersendiri,teknik penulisan kreatif tertentu dan strategi tersendiri memikat pembaca .

Di samping itu strategi jualan SBDJ yang mudah diperolehi sama ada di kedai besar ,kecil,pasar , malam, kedai mamak,Cina dan sebagainya yang merakyat sifatnya memudahkan pembaca memperolehinya untuk dibeli dan dibaca.Hal ini secara tidak langsung mencetuskan fenomena dan budaya membaca yang positif di kalangan rakyat Malaysia.

Generasi pembaca Malaysia era 1980-an,1990-an dan 2005 kebanyakannya pernah membaca siri novel SBDJ atau mengikuti siri ini dalam majalah Variasari terbitan Variapopo Group.Malah ada segelintir mereka masih memiliki koleksi Siri Novel Bercakap Dengan Jin karya Tamar Jalis yang diterbitkan dalam pelbagai versi dan ilustrasi kulit depannya untuk menarik perhatian pembaca meskipun kisahnya bukanlah sekadar kisah tentang makhluk jin atau yang sejenis dengannya tetapi disulami dengan ilmu perubatan tradisional Melayu, sejarah, ilmu persilatan, psikologi Melayu,kosmologi Melayu,perbomohan Melayu dan petua-petua untuk memerangi dan menewaskan iblis dan syaitan daripada menganggu manusia.




Tamar Jalis adalah nama samaran penulisnya yang diambil daripada satu nama jin yang terdapat dalam Hikayat lnderaputera yang terkenal dalam kesusasteraan Melayu tradisional.Penggunaan nama Tamar Jalis memang sesuai dengan penulisan Siri Bercakap Dengan Jin(SBDJ) hingga kebanyakan pembaca tidak menyedari nama sebenar penulis yang sudah berusia 71 tahun ini dan masih sihat walafiat.

Tamar Jalis atau nama sebenarnya Ahmad @ Mohd.Radzi bin Mahmud dilahirkan pada 13 September 1940 di Kampung Batu 36,Jalan Sitiawan,Beruas, Perak.Beliau mendapat pendidikan Melayu dan lnggeris serta Sekolah Rendah Teknik,Ipoh(bahagian tukang kayu dan binaan).

Dalam sejarah hidupnya, beliau pernah menjadi buruh,berniaga, pemberita bebas dan kerani pengedar akhbar Utusan Melayu(1970) dan pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Editor kumpulan majalah Variapop Group sebelumbersara dan kini menetap di Kuala Lumpur.Be liau juga pernah berkhidmat dalam tentera Wataniah antara tahun 1964 hingga 1966.

Tamar Jalis atau Ahmad @Mohd.Radzi Mahmud mula menceburkan diri dalam dunia penulisan sejak tahun 1955,melalui Utusan Kanak-kanak dan Tunas,tetapi cerpen dewasanya yang pertama tersiar dalam majalah Mutiara pada tahun 1958 berjudul “Berhari Raya di Kampung”.


Di samping menulis Siri Novel Bercakap Dengan Jin(SBDJ) yang tersohor dalam sejarah kesusasteraan Melayu itu ,beliau juga menulis novel dan cerpen. Cerpen-cerpennya tersiar dalam pelbagai majalah seperti Dewan Bahasa, Dewan Sastera,Dewan Masyarakat , Mastika dan Widya, dan akhbar-akhbar Berita Minggu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Watan.

Dua buah cerpennya “Menanti Ayah”(1971) dan “Samad Toja” (Mingguan Malaysia, 26 Mei 1974) memenangi Hadiah Karya Sastera pada era tersebut yang memperlihatkan kekuatan dan ketinggian mutu cerpen karya Ahmad Mahmud atau Tamar Jalis itu sendiri. Cerpen “Samad Toja” termuat dalam Antologi Hadiah Karya Sastera 1974 terbitan DBP(1976) iaitu di halaman 43 hingga 51.

Panel Hadiah Karya Sastera(1974) antara lain menyebutkan “Samad Toja” menceritakan kisah seorang tua yang memegang teguh kepada kepercayaan terhadap kuburan datuknya yang dianggap keramat.Dan ini didramakan dalam satu situasi di mana kekolotan watak ditimbulkan dengan jelas.Samad Toja sanggup mati kerana mempertahankan kepercayaannya.Cerita diselesaikan secara ironis dengan Samad Toja terselamat sedangkan pemuda yang cuba menyelamatkannya mati menjadi korban di suraunya.”

Tiga buah cerpennnya iaitu “Jaril,Jangan Tinggalkan Emak” (Dewan Bahasa, September 1973),” Paman”(Dewan Sastera, Januari 1977) dan “Cincin Berlian Bermata Dua”(Dewan Sastera,April 1980) dimuatkan oleh Hamzah Hamdani dalam buku selenggaraannya Di Bawah Bayang Kemboja terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1981).

Tuah menyebelahi Ahmad Mahmud bila cerpennya “Paman” dan cerpen- cerpen pengarang lain yang termuat dalam antologi Suatu Subuh Yang Bening selenggaraan Othman Puteh dan Ramli Isin terbitan Fajar Bakti Sdn.Bhd. terpilih dan menjadi teks kesusasteraan Melayu peringkat SPM pada era persekolahan tahun 1980-an dan menjadi bahan kajian pelajar untuk lulus peperiksaan SPM.

Di antara novel Ahmad Mahmud ialah Pucuk-pucuk Yang Mati(1967), Lorong-lorong Hitam (1969) dan Rumah Urut(1970).

Hamzah Hamdani dalam ulasannya ada menyebutkan “Walaupun novel-novel Ahmad Mahmud cenderung mengemukakan persoalan-persoalan seks,tetapi dalam perkembangannya kemudian, melalui cerpen-cerpennya,beliau telah mengemukakan persoalan-persoalan kehidupan manusia yang lebih serius.Ahmad Mahmud sering melukiskan jiwa manusia yang gigih menghadapi hidup walaupun akhiran cerita-ceritanya sering menyayat hati.”(1981:44).

Ahmad @ Mohd.Radzi Mahmud menerusi nama samarannya Atma A.M menulis novel-novel bercorak percintaan dan kemasyarakatan berjudul Bukan lmpian Hati setebal 126 halaman terbitan Variapop Group(Kuala Lumpur) pada tahun 1987.Beliau kemudiannya menulis novel Bukan Impian Hati(2) dengan mengguna- kan nama Atma A.M setebal 111 halaman terbitan Variapop Group (Kuala Lumpur) pada tahun 1988.

Beliau kemudiannya meneruskan penulisan novel bercorak percintaan dan kemasyarakatan dengan menggunakan nama samaran Ramadhan A.M menulis novel Kasihku,Sewangi Cempaka setebal 127 halaman(1988) dan Kukirim Rindu Untukmu setebal 127 halaman (1988) terbitan Variapop Group,Kuala Lumpur.

Pada bulan April 1985 hingga Januari 2005 iaitu selama 23 tahun enam bulan,,beliau mula menggerakkan penulisan novel Siri Bercakap Dengan Jin(SBDJ) dalam majalah Variasari untuk meningkatkan jualan majalah itu dan mencipta rekod sebagai siri novel terpanjang di Malaysia, Asia Tenggara dan sekali gus dunia antarabangsa menggunakan nama samaran Tamar Jalis yang mempunyai sejumlah pembaca dan peminatnya yang tersendiri di negara ini. Pada era 1980-an, majalah Variasari pernah dicetak 120,000 naskhah sebulan kerana wujudnya siri SBDJ itu sebelum beransur menurun kini.

Salah satu siri atau buku novel SBDJ sewajarnya diangkat menjadi teks KOMSAS musim yang akan datang untuk membolehkan pelajar generasi baru mempelajari dan mengetahui pelbagai ilmu dunia Melayu yang terungkap dalam buku itu.Hal ini lebih bererti sebagai menghargai sumbangan besar Tamar Jalis dalam dunia kesusasteraan dan penulisan di samping membantu ekonomi penulisnya berbanding pujian semata-mata.

Menurut Zabidin Hj lsmail ,Presiden Persatuan Karyawan Perak,”Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis adalah siri cerita kreatif Melayu yang terbanyak dan paling lama bersiaran dalam sebuah majalah tempatan. Sebanyak 221 siri telah dibukukan dengan pelbagai tajuk dan paparan corak kulit yang menarik lagi menyeramkan,termuat dalam 16 buah buku.Sebuah buku SBDJ mengandungi kira-kira 24 siri. Namun demikian terdapat sebanyak 63 siri iaitu siri 222 hingga 284 belum lagi dibukukan.”

Dengan tema “Memperkasakan SBDJ Sebagai Karya Kreatif Melayu Tersohor” telah diadakan Wacana Siri Bercakap Dengan Jin pada 20 Jun 2011 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak,Jalan Raja Di Hilir, lpoh, Perak.

Wacana anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak,Yayasan Perak dan Persatuan Karyawan Perak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak telah menampilkan pembentangan sepuluh buah kertas kerja menarik yang mengangkat dan mengiktiraf sumbangan besar SBDJ karya Tamar Jalis dalam dunia kesusasteraan.

Penulis karya kreatif seram popular, Tamar Jalis kali pertama memperkenalkan diri selepas 30 tahun 'menyembunyikan' identitinya daripada pengetahuan jutaan peminat karya seram, Siri Bercakap Dengan Jin (SBJD).

“Secara peribadi saya tidak mahu dikenali ramai kerana tujuan sebenar saya menulis siri itu untuk dihayati oleh pembaca dan bukan untuk meraih publisiti daripada peminat, tetapi seorang rakan memujuk memandangkan karya saya sudah diiktiraf sebagai khazanah.

"Lagipun, wacana ini diadakan di negeri kelahiran saya dan terpanggil untuk mengikutinya. Saya sendiri terkejut dan teruja selepas melihat ramai peminat SBDJ hadir memberi sokongan pada wacana ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Wacana SBDJ - Memperkasakan SBDJ Sebagai Karya Kreatif Melayu Tersohor', di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, di Ipoh, baru-baru ini.

Majlis berkenaan disempurnakan, Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin serta turut dihadiri isteri Mohamad Radzi, Maznah Mohd Isa, 63.

Beliau yang nama sebenarnya, Mohamad Radzi@Ahmad Mahmud, 73, berasal dari Beruas mengakui sebelum ini ramai yang memujuknya memperkenalkan diri sebagai Tamar Jalis, tetapi enggan berbuat demikian.

Sebanyak 284 siri SBDJ disiarkan dalam majalah Variasari terbitan Variapop Group sepanjang 23 tahun enam bulan, bermula April 1981 hingga Januari 2005 dan digarap dalam bentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya, Kulup Muhamad Diah@Long Mat Piah.

Percetakan semula siri itu bakal dikeluarkan pada September ini dengan 50,000 naskhah dicetak sebagai permulaan, selain bakal muncul dalam versi Bahasa Inggeris tahun depan untuk pasaran luar negara.

Beliau berkata, karya SBDJ itu bukan digarap sembarangan, sebaliknya 60 peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupun remaja.

Selain dikenali sebagai penulis siri seram terkenal, beliau turut mengakui menjadi buruan pembaca kerana menyangkakan dirinya sebagai seorang pengamal perubatan tradisional.

"Ramai yang ingin mengenali Tamar Jalis kerana inginkan 'sesuatu' atau berubat dengan saya. Namun, hakikatnya saya bukan seorang pengamal perubatan tradisional seperti disangka ramai," katanya.

Zainol Fadzi ketika menutup wacana terbabit mengingatkan khalayak bahawa Kerajaan Negeri Perak menghargai program anjuran Persatuan Karyawan Perak bersama JKKN kerana ia satu daripada usaha untuk memartabatkan karya Melayu khususnya yang ditulis anak Perak.

"SBDJ berjaya mencipta rekod tersendiri di Malaysia apabila diangkat sebagai karya bersiri paling panjang dan paling lama bertahan di negara ini. Ia sewajarnya diangkat sebagai khazanah berharga di Perak.

 *Buku Bercakap Dengan Jin pun kena di 'pirate'kan jugak eh?ingatkan zaman kaset Apache je dulu yang ada..heheh


7 comments:

  1. Kalau kat negeri omputeh...mau dah jutawan dah dia ni...

    ReplyDelete
  2. Aku teringin nak tengok mana2 karya difilemkan dan betul2 ikut storyline yg dalam cerita dia, xda penambahan mahupun kekurangan. Kena cari director mcm Peter Jacksen la kalo mcm ni...haha...ada ker pengarah yg mcm ni di Malaysia?

    ReplyDelete
  3. Aku rasa yang paling sesuai UWei je la..yg direct filem Hanyut tu..hehe

    ReplyDelete
  4. Melayu suka benda gini.
    Cuma aku nak tahu sangat pasal kegunaan susuk dan tangkal didalam golongan berdarjat, ni susah carik info

    ReplyDelete