Tuesday 21 April 2015

Buku Sebagai Medium Utama Ilmu

Oleh : Citrawangsa (http://citrawangsa.blogspot.com/)


Menurut Kamus Oxford buku ialah "a portable written or printed treatise, filing a number of sheets, fastened together". Kamus Webster pula mendefinisikannya sebagai "a set of written, printed or blank sheets bound together into a volume". United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) telah mengklasifikasikan buku sebagai lembaran kertas bercetak yang dijilidkan, mempunyai kulit (yang berbeza kertas dengan kertas teks) dan mempunyai lebih daripada 49 halaman. Baru-baru ini, UNESCO telah menambah definisi buku, iaitu dicetak sekurang-kurangnya 50 naskhah dan terbuka untuk jualan (tapi bagi saya, naskhah yang tidak dijual juga adalah buku jika lengkap fizikalnya sebagai sebuah buku).

Apa pun takrifan buku, ia tetap diberi perhatian masyarakat yang dahagakan ilmu pengetahuan. Sehingga dunia mengiktiraf 23 April setiap tahun sebagai Hari Buku Sedunia. Dan buku sering kali dikaitkan dengan budaya dan amalan membaca. Di Malaysia senario menunggu sambil membaca belum diterapkan sepenuhnya dalam jiwa masyarakat. Membaca di dalam pengangkutan awam juga sangat jarang dilakukan. Lebih memburukkan keadaan, tiada rak buku disediakan di rumah. Walau bagaimanapun, statistik menunjukkan amalan membaca rakyat Malaysia meningkat pada setiap tahun. Mungkin juga tahap keterbacaan ini bergantung pada pendapatan isi rumah. Peruntukan untuk membeli dan membaca buku sangat terbatas. Perpustakaan awam pula tidak menyediakan bahan bacaan terkini untuk pengunjung, sedangkan itulah yang mereka perlukan apabila berkunjung ke perpustakaan.
 Sebenarnya buku telah menjadi medium komunikasi massa kepada manusia sejak lebih 5000 tahun yang lalu. Apabila mesin cetak diperkenal, maka bermulalah zaman perkembangan buku. Ia mempunyai hubungan rapat dengan kebudayaan masyarakat awal Mesir purba, Mesopotamia, China dan kerajaan Rom dan Byzantine. Kegiatan persuratan pada zaman Mesir purba jelas menunjukkan penggunaan pokok papirus sebagai kertas yang digunakan untuk membuat buku. Apabila zaman semakin berkembang, manusia menjadikan kulit binatang sebagai kertas untuk menghasilkan buku. Sehinggalah pada zaman empayar Rom, kertas codex pula diperkenal secara meluas bagi menggantikan papirus dan kulit binatang. Jelas, betapa pentingnya buku!

 Amalan membaca buku wajar diterapkan seawal usia kanak-kanak. Biarpun pada peringkat itu mereka baru mengenal huruf, usaha tersebut perlu diteruskan bagi memupuk kecintaan terhadap buku dan budaya membaca. Peranan ibu bapa dan guru sangat penting bagi menggalakkan anak-anak membaca kerana hanya dengan membaca buku kita beroleh ilmu dan maklumat yang konsisten dan dipercayai. Kita boleh sahaja mencari ilmu dan maklumat dengan melayari internet, namun sejauh mana kesahihannya masih boleh dipertikai.

 Suatu ketika dahulu seorang sarjana barat, iaitu Marshall McLuhan pernah meramalkan yang buku akan ‘mati’ apabila kecanggihan internet semakin berleluasa. Namun, sehingga kini ramalan McLuhan itu belum menampakkan sebarang tanda sedangkan McLuhan sendiri telah lama mati.




6 comments:

  1. oh buku tak kan mati.. tambah2 yg novel tu, kalu baca imaginasi terus masuk dlm tu novel cemana boleh mati.. aku suka membaca.. tapi jarang beli buku kikiki.. betul lah harga buku2 skg mahal beb cam harga cd..

    ReplyDelete
  2. Kita orang Islam harus pegang prinsip Iqrak
    Aku tak malu aku tak segan ngan golongan pangkat besar, dan golongan sekolah tertiary, dan sebagainya pasal aku pastikan aku baca.
    Masa aku kecik2, aku suka tengok pakcik tua ni kerja dia sapu sampah, tapi setiap hari kat trolley dia letak tong sampah , penyapu dia ada sokkabar latest Berita Harian (Singapura), so aku pegang prinsip tu, reading is for everyone..
    Tapi Melayu is basically lazy. Nampak artikel panjang sikit je cakap"ëi panjangnye...ada sapa boleh ringkaskan?""
    So Melayu takkan maju

    ReplyDelete
  3. there is banyak jenis buku atau bahan bacaan. yg sebenarnya yg beri kita ilmu itu ialah Allah je.

    kawan aku seorang yg suka membaca, terutama sekali pasal pembangkang, dia memang tak miss beli mingguan harakah & keadilan, so bila aku lepak rumah dia aku pun selalu juga belek2 suratkhabar ni. anak dia sekolah pondok tapi aku tak pernah tegok bapaknya ni solat, ini bukan citer bohong, aku berkawan kamcing dgn org macam ni! tapi hati dia memang banyak baik beb, sumpah aku tak bohong! aku doa dia dapat hidayah.

    bagi aku 'iqrak' firstly utk al Quran, buku2 ilmiah dan sewaktu dgnnya je, bukan semua buku. iqrak bismi rabbika-bacalah dgn nama Tuhanmu.

    kalau baca kerrang or penthouses tak baca bismillah hehehe

    ReplyDelete
  4. tiap2 bulan beli buku...tapi bacanya jer yang belum tentu...aku memang ada masalah dalam bab pengurusan masa...

    ReplyDelete
  5. Well said bro...Semasa kecil dulu saya pernah ketagih untuk ke library setiap hari...Memang buku tidak mati!

    ReplyDelete
  6. baru tahu ada hari buku sedunia..

    harap ilmu atau apa2 perkara yang kita dapat daripada membaca sentiasa dikongsikan supaya sama2 dapat diambil manfaat..

    selamat membaca untuk hari buku sedunia esok!

    ReplyDelete